Terjahan gerimis yang tadinya perlahan dan tenang, kini agak gelojoh jatuh seumpama ada si polan yang mempermainkannya. Begitu ganas dan lasak ia menghentam bumi ciptaan Tuhan. Desiran angin yang di awalnya bertiup lembut seumpama bisikan cinta, kini bertukar menjadi deras menggila bagaikan ada yang tidak kena. Kejernihan pandangan yang sebelumnya jelas ketara, kini kabur belaka. Bagaikan alam tidak merestui akan sesuatu.
Nun di kejauhan sana kedengaran bunyi dentuman seakan-akan ada pesta yang sedang diraikan. Semakin dekat dihampiri, semakin jelas dan pasti. Sudah pasti dentuman itu bukan bunyi pukulan gendang atau bunyi bunga api. Bunyi-bunyi itu seperti logam yang dilagakan. Ada juga bunyi seperti pukulan-pukulan yang padu. Itulah bunyi-bunyi yang didengari. Dalam kelam hujan lebat, gila sang angin dan kabus yang mengaburi. Berulang kali. Tanpa henti.
“Matilah kau…”
“Ah…!”
“Ha! Ha! Ha! Ha!”
Sekali sekala ia diselang bunyi suara yang ganas lagaknya. Suara-suara seumpama reaksi yang bercampur baur. Hendak dikata angkara hati yang panas membara, ada betulnya. Hendak dikata gembira bagai si gila, pun ada. Selang beberapa ketika, bunyian dan suara-suara itu terhenti seumpama berehat mengumpul tenaga. Kemudian, ia kembali bertali arus bersama hujan, angin dan kabus yang aneh aksinya.
Bila makin didekati, semakin menampakkan punca bunyi-bunyian tadi. Di sebalik gempita alam, kelihatan dua susuk lembaga yang sukar dikenal pasti rupanya. Andai mereka berhenti sejenak, mungkin ada yang boleh mengecam siapakah gerangannya. Sesungguhnya, mereka itu manusia. Kelihatan pedang panjang yang runcing hujungnya digenggam erat. Seorang satu. Tidak lebih dari itu. Bila diamati, pedang-pedang itu berkilau berseri kerana dihiasi lapisan udara yang agak misteri. Lain warnanya, bergantung kepada siapa yang mengawalnya.
Sudah tentu pedang-pedang itu bukan untuk hiasan. Ia kemudiannya dilaga-lagakan. Begitu nyaring dan bingit bunyi dihasilkan. Rupa-rupanya, itulah tempikan lagaan pedang-pedang yang panjang dan runcing hujungnya. Tiba-tiba bunyi desiran angin yang tajam kedengaran apabila dua insan tadi meluru lancar di atas angin. Begitu pantas, begitu lincah dan begitu hebat gerakan mereka. Dari mata kasar, sudah tentu gagal menangkap dengan jelas.
Apabila lagaan pedang berakhir, kaki dan tangan pula bertukar khabar. Setiap tumbukan dan tendangan, mungkin parah kiranya tiada penahan. Begitu bengis wajah mereka. Bagaikan berdendam sampai ke mati. Begitu pantas setiap gerakan. Begitu padu dan jitu. Seumpama ada kuasa misteri yang membantu.
Lagaan pedang, tumbukan dan tendangan sahaja tidak mencukupi untuk mereka berlawan. Ia diselang dengan serangan gelombang bebola aura mampat dan panas, bertempias dan terpantul ke segenap ruang. Hinggap ke bumi, maka remuk dan berkecailah isi-isinya. Membentuk kawah, bersaiz sedepa manusia. Hinggap ke pokok, terbelah dan terbakarlah ia walaupun tiada dosa. Ada juga batu batan yang menyala disebabkan terlampau panas dan hebat sifat sang aura durjana.
Apabila tenaga dalam yang kian menghabis itu dikumpul kembali, serangan gelombang aura diteruskan. Keluarnya dari tapak tangan. Ada gelombang aura yang tinggi suhunya, bercampur api. Ada juga gelombang aura yang dipenuhi arus elektrik. Kadang-kadang, kedua-dua manusia tadi hinggap ke bumi atau runtuhan bangunan. Mungkin penat agaknya, bertarung di atas angin sahaja.
“Ajalmu di pedangku wahai durjana. Sesaat kau bernafas, bagaikan dosa bagiku. Kau tidak layak untuk hidup!” jeritan dendam si lelaki yang berdiri tegak di atas timbunan runtuhan bangunan.
Kelihatan nafasnya tercungap-cungap keletihan. Menahan sakit luka-luka di badan. Darah pekat masih mengalir perlahan dari celah luka di pipi. Ia kemudiannya menitis dari dagu dan jatuh membasahi tubuhnya yang sasa itu. Di dada, kelihatan belahan luka yang agak besar. Melintang dari kanan ke kiri. Namun semangatnya, mengabaikan sakit yang dirasai.
“Ha! Ha! Ha! Ha! Ha!. Kau masih belum layak untuk menghapuskan aku. Masih cetek ilmu kau itu” balas lelaki kedua yang berdiri teguh di udara.
Matanya merenung tajam ke arah lawannya. Sambil bibirnya mengukir senyuman sinis dan berbisa. Dia kemudiannya turun dari udara, lalu hinggap di sebuah tiang besi yang masih terpacak rapi.
Ada betulnya kata-katanya itu. Dirinya yang sasa dan bersaiz sedikit besar dari lawannya itu, cuma dihias luka-luka kecil sahaja. Nafasnya masih lancar. Tiada cungap. Tiada lelah. Kelihatan dia agak berusia. Mungkin lebih dua puluh dekad dari lawannya. Di badannya, lengannya, mukanya, ada parut-parut lama yang menampakkan lagi garangnya. Lapisan udara biru menyelubunyi dirinya. Menyebabkan besi yang dihinggap, panas membara.
Lelaki yang luka di dada tadi menghunuskan pedang yang tajam dan lebar itu ke arah mangsanya. Hujan lebat menerpa rambutnya yang agak panjang dan tubuh yang dipenuhi luka. Tidak berbaju kerana habis diratah penangan hikmat-hikmat lawannya. Ada yang koyak. Ada yang terbakar. Terjahan hujan kian lebat. Terbelah biji-biji titisan hujan itu kepada dua tatkala tersentuh mata pedang yang bisanya tiada disangka. Aura biru yang menyelubungi lelaki itu, cuba membantu menutup luka-luka kecil yang tidak diendahnya untuk sekian waktu. Hikmatnya tidaklah sebarangan.
Lelaki yang lebih tua pula, rambutnya pendek dan putih belaka. Pedangnya halus dan runcing rupanya. Sesekali terkena desiran angin, menghasilkan bunyi yang tajam dan berdesing menandakan bahaya. Di lengan kanannya, terpahat dua lingkaran garisan seakan tatu yang ditindih dengan pangkahan di atasnya. Mukanya bengis. Anak matanya hitam pekat. Sut kebal gentian sintetik yang dipakainya masih kemas dan lekat dibadan. Nampak sedikit belahan-belahan kecil kesan hirisan pedang yang tajam. Sut itu tiada berlengan. Menampakkan jelas kekuatan otot bagi menggerunkan lawan. Eloklah kiranya, gelaran si muda dan si tua sahaja dijadikan panggilan. Mudah untuk dibezakan.
Bersambung....